Wednesday, October 26, 2011

JALAN KE SANA..



Bismillah..

Tatkala malam berlabuh penuh sepi.. Hanya terdengar hembusan angin yang lembut mendayu..Mengirai pelipis mata yang sedari tadi hampir terpejam..Tapi, keheningan malam mengeraskan jua kelopak mata dari terpejam rapat..

Ku melihat di sepanjang jalan yang dapat ku intai dari tingkap bilik..Kelam..Gelap..Dan, kabur dari pandangan..Entahkan apa yang ada di sepanjang jalan itu..Ku cuba juga untuk meningkatkan daya kuasa pemerhatian di balik kegelapan itu..Yang jelas, ku terbatas. Tersekat di daerah itu..

Menyusup mengalir hikmah kalamullah..

Di jalan itu..yang penuh kecintaan..Namun, penuh dengan mehnah atau titipan duri yang kerap menyakitkan..Bukan saja rasa tertusuk, mungkin tertikam atau mungkin terhentak..Berat dan ringan, itu pengaturan-Nya..

Kata Fathi Yakan “Ketahuillah wahai saudaraku para pendakwah, sesungguhnya Allah pasti mengenakan cubaan kepadamu. Dia akan menguji hakikatmu”

Bila jalan cinta itu penuh dengan kesakitan.. Tapi, optimisnya ia mengandungi tapisan..Tapisan yang membuahkan istiqamah..

“Alif lam mim. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman' sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al Ankabut 1-3)

Antara dua..Bukan tiga..Pilihan ini selalu diungkap melalui kalamullah kepada hamba-Nya.. Antara syurga atau neraka..Antara benar atau dusta..Antara malam atau siang...Dan masih banyak pilihan ANTARA DUA..dan cuma satu yang akan jadi keputusannya yang tetap..HANYA SATU..

Masih dua jalan yang berbeza.Jalan pertama yang lurus tapi punya 'kehangatan' duri dan dugaan yang tak terjangka..Hasil buat mereka yang melaluinya? Bakal membuahkan kesan tabah, sabar, cerdik, istiqamah..dan masih banyak rasanya..Disebabkan kesusahan yang menjadi satu sekolah pendidikan buatnya..Sedangkan di hujungnya ada destinasi abadi yang menjanjikan kelazatan hakiki buatnya..Dia sedang menuju ke sana..Dan dia memilih untuk sakit dan dikelar dengan bilah yang memedihkan..Tapi, dia PASTI..dengan destinasi akhirnya..

Jalan yang kedua..Lurus dan damai..Manis dan bahagia..Tapi, hanya luaran. Sedangkan di tabirnya ada hangat yang menanti..Di sepanjang denai yang sebenarnya membuatkan dia statik di medan yang sama tanpa ada yang membangkitkan sesuatu yang bermakna dari dalam dirinya. Dia tidak mampu belajar tentang sesuatu!! Kerana jalannya tetap landai dan dia tidak pernah faham erti variasi jatuh bangun serta terbina sesuatu dari dalam yang menjadi asas..Arus fitrahnya dilawan..Dan dia jadi terbiasa dengan jalan yang mesra dengan kesenangan..Sedangkan dia sedar di akhirnya, dia bakal menuju ke penamat yang dia sendiri tidak pasti..Destinasi yang menjamin bahagia selamanya? Tapi, apa pula imbalannya? Jika tanpa harga, patutkah?

Memahami binaan jalan ini?

Syed Qutb juga menyebut di dalam tafsirnya berkaitan ayat 2 dari surah al-Ankabut : “Bukanlah Iman itu kata-kata yang diucapkan dengan lisan, tetapi ianya adalah kesabaran diatas perkara-perkara yang dibenci dan di atas tanggungjawab-tanggungjawabnya”


Ya! Mencari kebenaran di balik setiap yang ditempuh. Bukan hanya saduran kepalsuan. Tapi, erti hakikat sebenar yang terkandung. Kerana itu ia memerlukan tapisan dari ujian. Mencari yang terbaik dengan hanya membuat satu penentuan atau pemilihan yang 'buta' dari analisa, nampak seperti tiada saksi keadilan bukan?

Dan dalam masa yang sama, kita sebenarnya sedang membina satu jaluran yang kuat dan ampuh, cuma tidak zahir di pandangan mata kerana kekebalan kudrat-Nya. Makna darinya, bilamana akan wujud satu kekuatan monolog dalaman yang mengarah kepada tawakkal, penyerahan diri, keyakinan dan kepercayaan yang amat kuat kepada kuasa besar seluruh alam dan makhluk..Tadbir diri ini berjalan dan terus berjalan dalam horizon ketetapan-Nya..Dia yang mengatur, dan Dia juga yang merencana..

Langkahan di medan ini memancarkan satu formula umum dalam dakwah dan tidak berubah, juga tidak bertukar ganti melalui tiga perkara ini:-

1. Iman yang amiq; (Iman yang mendalam.)
2. Takwin daqiq; (Pembentukan yang rapi dan teliti)
3. Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).

Tertahkik sudah? Atau terealisasi sudah semua ini pada jalan pilihan kita?

Sampai bila kita perlu berjalan di jalan ini yang ke sana?

Berjalanlah dan usah kosongkan ia dari sebarang anugerah yang tercipta di sepanjang jalan. Sekalipun dirasakan anugerah itu kecil di pandangan mata kita.."Alah, dapat ni je?" Persoalan ini bakal tiada kerana kita menantikan trofi agung yang bakal dianugerahkan di tempat yang terbaik oleh Yang Maha Agung.

Teruskan dan hadapilah ia..Sehingga...


"Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka " Al-Baqarah: 193


Usah jemu..Usah berpaling...Teruskan..

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu".




Bicara ini bicara hati..Kerana diri memahami bahawa jalan cinta ini bukan hanya dengan jasad yang kosong..Tapi, membawa hati yang menjadi penilaian utama di hadapan-Nya..Hisab yang tertanggung ke atasnya seberat-berat penghakiman..Kerana itu, hati ini sedayanya terus mengutip tiap saat yang penuh hikmah tanpa sia-sia hasil kurniaan dari-Nya...Tiap saat yang diri ini sentiasa dalam sekolah tarbiyah milik-Nya..Malah pada setiap nafas..

Di jalan cinta inilah..Jalan Dakwah akan terus mekar...InshaAllah...

Mengharap redha dan cinta dari-Mu..selama-lamanya yang abadi hingga ke sana..

Berjalan yang akan terus dan terus untuk ke sana..Dan ku memilih jalan yang dipilih-Mu itu buat hamba yang menjadi perindu dan penanti yang setia untuk bertemu dengan kekasihnya..Sebaik-baik percintaan dan penantian...

"Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". (Yusuf:108)

3 comments:

madihah ahmad said...
This comment has been removed by the author.
silent writer said...

subhanallah...banyak sungguh ilmu disini :) fataci

Asiah Syarifah said...

ku pohon hidayah ALLAH akan sentiasa memayungi kita hingga ke nafas terakhir... dan ku pinta ALLAH sentiasa lindungi jari jemari yang sentiasa menyuburkan rasa kecintaan ini kepadaMU YA ALLAH.. syg c.su...