Saturday, October 15, 2011

BILA CINTA..

Bismillahirrahmanirrahim..




Sebuah kembara. Merentas kepulan-kepulan awan yang sejak beberapa lama hanya melihatnya dari bawah. Tiba saatnya, Dia mentakdirkan diriku dekat amat dengan yang sering di’intai’ itu. Dekat tapi jauh dek terhalang oleh binaan yang melingkungi..

Satu suasana tiba-tiba tergambar di benak fikiran. Ralit dan tenang menghayati.

“Sayang kita banyak ke sikit?”

“Sayang banyak.”

“Ala, sayang banyak ke sikit?”

“Sayang banyak.”

“Ala, sayanglah banyak sikit.”

“Sayang. Sayang banyak banyak.”

“Sayang banyak sikit?”

“Sayang banyak-banyak banyak dan banyak. “

Dan seraya itu, si ibu yang “sayang banyak” itu memeluk anaknya. Lantas, pipi kiri dan kanan serta dahi si anak dicium dalam rangkulan ibu.

Terasa benar kasih si ibu itu. Tak jemu melayan anak yang berulang-ulang memberi soalan yang sama dan mungkin sebenarnya dah terzahir sudah ‘sayang banyak’ itu.
Terharu dan dada terasa sebak. Ibu.

“Ma, ma sayang kita banyak ke sikit?”

“Sayang banyak.” Mulut si ibu tersenyum sambil redup matanya memandang dalam kepada anak mata si anak.

“Ma sayang banyak ke?”

“Sayang banyak. Sebanyak bintang di langit, pasir di bumi. Haa. Tak terhitung tu.” Si ibu tersenyum lagi.

Melihat ibu itu, tak lekang dengan senyuman tiap kali melayan kerenah si anak. Kadang-kadang, bila salah seorang anaknya telah berumur setahun lebih yang sedang terkial-kial baru mencuba untuk berjalan, terzahir di perutnya itu yang sedang sarat mengandungkan seorang lagi anak.

Tapi, dalam keadaan yang sama, dia bukanlah seperti ibu-ibu lain yang senang menguruskan rumah tangga. Kerap ditinggalkan suami yang bekerja di luar kawasan, pendapatan yang diperolehi bukanlah sebanyak mana bila mana menyara anaknya yang ramai itu dengan hanya dua atau tiga ratus sebulan. Memasak? Menggunakan kayu api. Mengambil air? Dengan menimba di perigi. Membasuh kain anak-anak yang ramai? Tiada mesin basuh melainkan manual iaitu basuh menggunakan tangan dan kadang-kadang dia ke tepian sungai sambil membawa anak berehlah bersama. Jiran-jiran? Bukanlah seperti yang disangka. Kadang-kadang merekalah yang menusuk kita dengan duri-duri dunia. Segalanya bagaikan susah menanggung satu kerumitan.

Tapi, ku bahagia melihat kesempitan si ibu itu yang mempunyai kandungan sinar hikmah. Dia jadi ibu yang sangat tabah, sangat tenang, dan paling ku kagumi, dia ibu yang dekat dengan Allah. Kelaziman tahajjud dan dhuha serta amalan-amalan sunat lain yang sentiasa dijaganya. Doa buat anak tidak pernah dilupakan.

Dia tegar dengan kerenah anak yang pelbagai. Sehinggakan pada satu ketika, dia menangis di hadapanku. Matanya sayu. Sedih yang terkilan. Katanya, “Agaknya ini silap ibu yang tidak memberikan ilmu agama yang cukup buatnya. Ibu sendiri bukan berpelajaran seperti ibu yang lain.”

Tapi, tak lama. Bila si anak datang dan berlagak seperti seolah-olah tiada apa yang berlaku, ku juga hairan melihat si ibu itu yang juga seolah-olah lenyap terus darinya segala perlakuan biadab si anak tadi. Ibu.

Masih banyak pengorbanan ibu. Masih tak mampu untuk diceritakan segalanya. Masih tak mampu terbalas dengan kebendaan di dunia.

-------------------------------------------------------------------------------------





Subhanallahi mashaAllah. Aku jadi terfikir sendiri. Jika sebesar inilah kasih seorang ibu bila mana aku sendiri cuba menyelami sedikit sebanyak susur galur sejarah hidupnya sehinggakan ku menangis tanpa sedar, jadi, apatah lagi cinta agung Dia yang selayaknya menciptakan kasih ibu?

Cinta Dia yang bagai hanya di belakang tabir. Cinta Dia yang bagai bukan milik-Nya tatkala kita lupa segala hadiah nikmat itu tanda kasih-Nya. Nikmat yang bukan sebarang nikmat. Mampu terhitung dan mampu dibanding dengan jasa seorang ibu? Sudah tentu tidak.

Justeru, di mana cinta-Nya di hati kita? Di mana letaknya Dia di jiwa kita? Di mana kasih dan terima kasih kita untuk-Nya?

Allah, semikanlah cinta ini sekukuhnya. Ampunkanlah kami bilamana cinta-Mu, rahmat-Mu itu ada buat hamba. Sedangkan hamba sering dan selalu melupakan-Mu. Seringkali tersasar dari mencintai-Mu. Seringkali terbabas dari merujuk-Mu.

Ya Allah! Lekanya hamba. Kenapa teramat mudah untuk tersentuh dan terkesan jua merasai lembut dan dalamnya kasih seorang insan bergelar ibu yang juga ciptaan-Mu, namun, hamba lalai dengan asal cinta dan anugerah itu yang sebenarnya kepunyaan Dia Yang Maha Agung, Maha Penyayang, Maha Pengasih..

Ya Wadud! Ya Rahim! Ya Rahman! Allahu ya Allah.

"Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." ~Surah Ali-'Imran ayat 31..

0 comments: