
Bismillahirrahmanirrahim…
Mengungkap kalam bicara bersama teman seperjuangan. Mencari tadbir diri. Akhirnya ketemu seuntai hiasan mutiara indah di balik bicara yang tersusun lembut.
“Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
Untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk akidah yang terbesar yang menyelesaikan
Urusan alam yang lampau
Jawablah soalan-soalan yang disoal oleh orang yang tertanya-tanya
Semasa mereka menghayati petunjuk
Dari manakah aku datang?
Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku dijadikan?
Adakah aku hidup kembali?
Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
Terusir segala keraguan yang nakal dan derhaka
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng kepada jalan yang benar dan lurus
Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang di segala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi dan mulia
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
Di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’
Kau tudung bumimu dengan langit
Dan para malaikat menjadi saksi
Itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah bahagia, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
Dengan namanya; dialah orang yang berbahagia.”
~Dr Yusuf Al-Qardhawi~
Satu sandaran pencarian bila hidup ini seringkali dianalogikan ingin mencari ‘madu’ atau ‘manis’. Seorang anak yang sedari kecil dilayani dengan gula-gula atau kepingan coklat yang manis. Dan terukirlah kegembiraan di wajah sambil menatap sang ibu dan ayah. Jua, bercahaya mata dengan kepuasan.
Tatkala si anak mendapat sakit dari bahana ‘manis’, kerutan dan tangisan terpapar di wajah. Si ibu juga rungsing. Si ayah mencari penawar. Tapi, tatkala kesembuhan mengisi tabir perjalanan seterusnya, dia jadi lupa dengan kesakitan semalam. Masih mencari manis yang ‘indah’ dan manis itu baginya ‘bahagia’.
Tapi, tak lama. Dia membesar dan mengisi ruang hidup dengan sendiri tanpa ibu dan ayah yang akan sentiasa menemaninya. Dia masih gembira. Mencari emansipasi ‘manis’ itu. Bertemankan sahabat dan kawan.

Jenuh tak kunjung tiba kerana hidup perlu sentiasa ‘manis’. Di sudut mana, ufuk kehidupan tetap inginkan ‘manis’. Sesekali meneguk atau menelan kunyahan yang ‘manis’ tanpa mengira batasan diri yang punya Pencipta.
Natijahnya tiba. Menghantar satu huluran yang melibas satu perjalanan hidup yang selama ini dianggap perlu manis yang untuk selamanya. Dia punya kesedaran untuk satu kemanisan yang tidak punya erti bila diri makin lemah mentafsir kekuatan mencari manis itu..hanya sementara. Hanya sekejap. Hanya satu kesakitan..Yang sebenarnya bakal punya penamat.
Manis kehidupan itu tak selamanya menjanjikan satu kesenangan dan kebahagiaan untuk penerusan hidup yang terus abadi sehingga ke infiniti masa di sana. Yakinkah dengan kehidupan akan datang? Adakah hidup ini hanya sia-sia dan hanya perlu berakhir dengan sebuah kematian semata-mata? Adilkah untuk hidup yang hanya sesingkat itu seolah-olah seperti singgah ke taman tema dan balik untuk tidur dan rehat selamanya?
Cetek atau dalamnya akal mentafsir khuttoh/strategi kehidupan ini terpulang pada luas atau sempitnya diri melebarkan bukaan pintu hati itu. Menerima satu mesej penting pada signal jiwa untuk terus dilebarkan jaluran seterusnya kepada perantara medium yang pasti akan disampaikan ke paksi orbitnya. ‘Hidup untuk matikah?’ ‘Hidup untuk begini saja ke?’ ‘Hidup untuk …….’
Sia-sia bukan? Tapi, jelas sudah bagi yang bermatlamat. Bagi yang melihat visi setiap perjalanan. Bahawa hidup bukan sesuatu yang sia-sia. Bukan sekadar mencari manis yang menghadirkan pula analogi yang menghasilkan kronologi yang merumitkan hidupnya. Bila diri makin kompleks menafsir manis itu untuk apa? Setakat mana? Dan akhirnya adakah hanya manis? Oh, tidak! Bila diri makin lemah dan lemas dengan had dan takatnya yang terlebih, akhirnya dia akur. Diri tak punya kuasa pengurusan sepenuhnya. Bila dia punya kehendak mengatasi kemampuan. Akhirnya terbinasa dengan sendiri.
Menjadi pembunuh dalam senyap. Menjadi pemburu dalam diam. Akhirnya, mangsa buruan itu terpamer di hadapan mata. Kerana, diri sendirilah mangsanya.
Mudahnya analogi hidup bila Allah tetap meletakkan putaran fitrahnya di sekeliling dirinya jua. Mudah untuk dilihat dan ditafsir. Andai dia bersedia meluaskan medan keterbukaan pada tafsir diri.
~KERANA HATI ADA PERJALANAN YANG MENUNDUKKAN BUMI...BILA HADIRNYA HATI UNTUK SEBUAH SUJUD CINTA DI SEJADAH KEMERDEKAAN JIWA..DIIRINGI DENGAN SEBUAH KEREDHAAN DAN KEBESARAN YANG HANYA DIKEMBALIKAN BUAT YANG BERHAK..~
0 comments:
Post a Comment