
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah
Petang tadi, sempat kaki menapak ke sebuah hospital. Menemani ukhti untuk membuat follow-up pada pembedahan kecil yang baru dilakukan minggu lepas.
Menapak perlahan ke halaman hospital sambil mata sedikit tertunduk menahan terik matahari yang memancar.
Dan tanpa disangka, sekilas pandangan ekor mataku terpandang ke sudut sebelah kiri. Melihat seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan akhir 20-an.
Hatiku sayu. Langkah makin kecil. Hati berkira ingin melihat secara langsung atau tidak. Ku teruskan perjalanan sambil mencari sudut atau cermin yang boleh dijadikan pantulan dirinya.
Ku melihat kelibatnya di sudut cermin pintu utama hospital sambil kaki perlahan-lahan menapak menuju ke dalam.
Kedua-dua tangannya kudung sehingga ke paras atas siku dan kelihatan mengecil dari saiz biasa. Kulitnya hangus dan kering. Jubah krim yang dipakainya kusam dan lusuh tapi masih bersih. Dan ketika itu, ku melihat tangannya yang kudung itu sedang menuangkan air dari satu cawan plastik yang sememangnya diletakkan di situ untuk memudahkan sesiapa untuk singgah dan minum di paip awam yang dibina di tepi tempat pinggiran tempat duduknya.
Dan ketika itu, terzahir di pandanganku yang mana air tersebut dicurahkannya ke kaki kanan lalu diratakan pula air tersebut dengan menggunakan kaki kirinya. Ya Allah, dia tengah berwudhu' rupanya! Sambil matanya tunduk sayu meratakan air wudhu' tersebut.
Dan dari pantulan cermin itu, ku melihat dia bangun. Perlahan-lahan menuju ke tempat minum awam itu dan kembali mengisi cawan tersebut dalam keadaan sedikit susah dan rumit untuk memasukkan cawan tersebut ke bawah paip sambil mukanya sedikit terperosok ke dalam untuk membuka paip tersebut. Hampir ku melangkah ke sana, dia usai mengangkat kepalanya. Tanpa bantuan sesiapa, dia melunaskan kerjanya. Bagaikan sebati tanpa perlukan pergantungan dari manusia sekeliling..Malahan mungkin juga dia pernah disisihkan kerana kekurangannya..
Pandangan sayunya itu meruntun hati. Wajahnya tenang. Teramat tenang. Sekalipun sayu dan sedih untuk ku memandangnya. Tabah dan teguhnya dia untuk terus melaksanakan ketaatan itu. Allahuakbar..
Lantas, selepas itu, langkahnya diatur menuju ke masjid yang berdekatan. Langkahnya kelihatan lemah tapi hatinya bagaikan padu untuk menyahut panggilan ibadah. Taatnya dia, ya Allah. Tabahnya dia tanpa ada sesiapa. Kukuhnya dia bergantung tika hidup ini hanya padaMu.. Dan tenangnya dia melangsaikan kehidupan dunia dengan penuh kekuatan yang ada.
Terasa diri ini kerdil ya Allah. Terasa dia lebih mulia dan tinggi martabatnya di sisiMu berbanding diriku. Terasa diri kurang berusaha untuk menetapkan kekhusyukan ibadah buatMu..Kerana terbinanya pergantungan buatMu itu bukanlah sesuatu yang mudah..
Lelaki ini mengajarku sesuatu.. Malah meredakan aku dari tangisan semalam. Menguatkan aku dengan ketenangan dan ketaatannya..Dia benar-benar bermakna buatku..
Bicara hati terus berlayar tanpa kata. Melanjutkan urusan seterusnya di bilik doktor dengan paparan yang masih terzahir di mindaku.
MULIANYA SEORANG HAMBA KERANA TAQWANYA..TEGUHNYA SEORANG HAMBA KERANA KUKUHNYA DIA DENGAN PERGANTUNGAN PADAMU..ZAHIRNYA KEKUATAN PADA KETENANGAN JIWA YANG KHUSYUK MENGHADAPMU..

Ya Allah..Jadikanlah kami hamba yang dekat denganMu..Taat yang penuh kecintaan padaMu..
Maka, hadapilah hidup ini. Melangkahlah dengan tabah. Mengukuhkan wasilah pada binaan jambatan hidup untuk ke akhirat yang kekal abadi..
Hadapilah hidup ini..Dan tinggikan maqam kedudukanmu di sisiNya..
Allahul musta'an...~Terima kasih ya Allah~
0 comments:
Post a Comment